Jumaat, 9 April 2010

Betapa Sayangnya Rasullah Kepada Kita

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku.Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.
Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup.
Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya.
Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,
"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,
"Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan Kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?"
Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu.
Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik.

Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini."

Perlahan Rasulullah mengaduh.
Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?"
Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita...

Kemuliaan Hati Rasullullah

Seorang sahabat Nabi Muhammad sangat suka bergurau. Beliau adalah Nuaiman yang juga menjadi tentera, berperang dalam peperangan Badar. Namun begitu, beliau juga merupakan antara sahabat yang miskin. Walaupun Nuaiman miskin, beliau mempunyai hati yang mulia dan suka menolong orang lain. Sekiranya mempunyai lebihan wang, beliau akan menjamu orang miskin di masjid.

Pada suatu hari sedang Nuaiman berjalan-jalan, beliau bertemu dengan seorang penjual madu. Pada masa itu, penjual madu sedang melalui jalan yang dekat dengan rumah Nabi Muhammad. Nuaiman terfikir hendak membeli madu itu, namun beliau tidak mempunyai wang. Akhirnya beliau mendapat satu idea.

“Wahai penjual madu!” panggil Nuaiman.

Penjual madu itu datang menghampiri Nuaiman sambil membawa beberapa botol berisi madu.

“Tuan memanggil saya?” tanya penjual madu.

“Berikan saya satu botol madu,” kata Nuaiman.

“Baiklah. Ini dia, tuan,” kata penjual madu sambil menghulurkan sebotol madu kepada Nuaiman.

Sambil mencapai botol madu yang dihulurkan itu, Nuamain berkata, “Saudara tunggu di sini. Nanti duit madu ini akan dibayar oleh tuan rumah ini,” kata Nuaiman sambil menunjukkan rumah Nabi Muhammad.

Nuaiman membawa botol madu itu lalu pergi ke rumah Nabi Muhammad. Nuaiman mengetuk pintu dan memberi salam. Nabi Muhammad keluar sambil menjawab salam Nuaiman.

“Wahai kekasih Allah, terimalah hadiah daripada saya,” kata Nuaiman, sambil memberikan botol madu yang di-pegangnya kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad yang tidak tahu apa-apa itu mengucapkan terima kasih kepada Nuaiman. Nuaiman tersenyum lalu pergi dari situ.

Apabila melihatkan Nuaiman pergi jauh tanpa membayar harga madu yang dibelinya, penjual madu itu naik marah. Lantas beliau pergi mendapatkan Nabi Muhammad.

“Tuan, tuan sudah mendapatkan madu daripada saya, tetapi tuan belum membayarnya,” kata penjual madu.

Tahulah Nabi Muhammad yang Nuaiman bergurau dengan beliau. Nabi Muhammad tersenyum sendirian dan terus membayar harga sebotol madu yang dibeli oleh Nuaiman itu. Penjual madu itu berlalu selepas mendapatkan wangnya.

Keesokan harinya Nabi Muhammad meminta sahabat memanggil Nuaiman. Nuaiman akhirnya datang berjumpa Nabi Muhammad dalam keadaan takut. Nabi Muhammad tidak marah kepada Nuaiman, tetapi beliau ingin tahu Kenapa Nuaiman tidak membayar harga madu yang dibelinya.

Nuaiman pun berkata, “Wahai kekasih Allah. Saya ingin sekali melakukan kebaikan kepada tuan. Tetapi saya tidak mempunyai wang pada masa itu. Maafkanlah saya.” Nabi tersenyum mendengar kata-katanya.

Cuba kawan-kawan fikir, bukankah itu sifat nabi kita? Memaafkan sahabatnya. Kita sepatutnya meniru sifat yang ada pada nabi kita tersebut.
wassalam.

Blogger template 'FlowerFlush' by Ourblogtemplates.com 2008